✔ Mikrocip haiwan jamin keselamatan

✔ Mikrocip haiwan jamin keselamatan

Mikrocip haiwan jamin keselamatan

 .
Kunjungi KEDAI BARANGAN KUCING ONLINE kami di :
.
1) SHOPEE
https://shopee.com.my/syakirman
***pembelian rm35 ke atas dari kedai kami PERCUMA POS
***untuk pengguna baru shopee gunakan code SYAKI874 untuk dapatkan diskaun rm7
.
2) LAZADA
https://www.lazada.com.my/shop/jmaster-store/
.

“Pemasangan mikrocip kepada haiwan peliharaan seperti kucing berfungsi sebagai identiti mereka bagi menjamin keselamatan dan pemilikan.”


 

SELEPAS kehilangan seekor kucing kesayangan yang dipelihara selama tujuh tahun, Hashimah Hasan, 34, mencari alternatif bagi mengelakkan perkara sama berulang.

Menerusi pencarian maklumat di internet, peguam yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan itu mendapat tahu mengenai teknologi mikrocip yang berupaya meningkatkan peratusan penemuan semula kucing yang hilang.

Tanpa berlengah, Hashimah terus mengunjungi klinik veterinar berhampiran bagi mendapatkan penjelasan berhubung mikrocip tersebut. Daripada lapan ekor kucingnya, kini seekor telah pun berjaya dipasang mikrocip identiti.

“Sejak saya bertemu veterinar pada bulan Februari lalu, doktor mencadangkan supaya saya memasang mikrocip. Hari ini saya membawa Blacky bagi proses tersebut dan diharapkan ia dapat menjamin keselamatannya pada masa depan.

“Memang mikrocip ini tidak dapat membantu pemilik kucing mengenal pasti lokasi haiwan itu berada, tetapi secara tidak langsung, kebajikan mereka terjamin.

“Ia amat berkesan sekiranya ada pihak yang mencuri kucing kita dan berkeras tidak mahu memulangkannya. Sekiranya kucing itu telah dipasang mikrocip, kita boleh buktikannya menerusi nombor identiti yang disimpan di dalam data komputer,” jelas Hashimah yang kerap mengutip kucing jalanan dan kemudian dibawa ke veterinar.

Nahzatussyima Amat Yedon, 28, pula mengambil keputusan memasang mikrocip tersebut pada kucing betinanya yang berumur satu tahun setengah, Min Ki, pada penghujung tahun lalu.

Ia berikutan pengalaman yang ditempuhi Nahzatussyima ketika membawa Min Ki pulang ke kampung di Sabak Bernam, Selangor tahun lalu. Memandangkan kucing itu dipelihara di dalam rumah sahaja di Bandar Sunway, Selangor, haiwan itu mengalami masalah untuk bebas di luar.

KESEMUA hospital veterinar di bawah seliaan Jabatan Perkhidmatan Veterinar menawarkan perkhidmatan pemasangan mikrocip dan pembuatan pasport.

 

Faedah mikrocip

“Min Ki pernah terlepas keluar ke halaman rumah di kampung. Waktu itu saya bimbang ia hilang dan tidak akan ditemui. Nasib baik Min Ki sempat dibawa masuk ke dalam rumah dan bermula saat itu, saya bertekad untuk memasang mikrocip pada Min Ki.

“Banyak faedah yang boleh diperoleh pemilik kucing menerusi mikrocip ini. Antaranya, keselamatan, hak milik dan sekiranya ingin dibawa ke luar negara pun tidak berdepan masalah,” jelasnya ketika ditemui di Klinik Haiwan dan Surgeri Taman Equine, Seri Kembangan, Selangor.

Pemilik 18 ekor kucing, Azahar Mohd. Yunus, 46, beranggapan semua kucing yang dipelihara manusia wajar dipasang mikrocip. Tambahnya, ia tidak hanya untuk kucing di bandar malah kucing yang dibela di kampung-kampung juga memerlukan mikrocip pengenalan.

Ujar ayah kepada dua orang anak itu, diskriminasi terhadap kucing yang dipelihara perlu dihentikan. Baginya, semua kucing berhak mendapat layanan dan kebajikan sama rata selagi mereka di bawah penjagaan manusia.

“Memelihara haiwan ini bukanlah sekadar menyiapkan makan minum dan tempat tinggal mereka, malah kesihatan dan keselamatan juga perlu dititikberatkan. Anggap tanggungjawab menjaga mereka sama seperti kita menjaga diri sendiri.

“Majoriti rakyat Malaysia memang suka membela haiwan terutama kucing tetapi mereka tidak mahu membawa haiwan-haiwan ini ke klinik bagi pemeriksaan atau rawatan. Tanggapan kos yang tinggi sebenarnya tidak boleh diterima.

“Pemasangan mikrocip untuk seekor kucing saya kurang RM50 dan kos-kos rawatan lain seperti vaksinasi dan ubat nyahkutu pun tidak sampai RM100,” demikian pandangan Azahar yang menyediakan sebuah bilik khas untuk kesemua kucingnya di rumah.

PASPORT baharu ini memudahkan pemilik membawa haiwan peliharaan mereka ke luar negara.

 

Pasport haiwan

Sementara itu, Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Kuala Lumpur, Dr. Mas Ayu Suraya Abd. Rahman menjelaskan, cip penyimpanan data haiwan dikenali sebagai Peranti Identiti Frekuensi Radio (RFID). Cip-cip RFID disediakan dalam pelbagai bentuk seperti mikrocip bersaiz kira-kira satu milimeter (mm), tanda identiti (tag) yang selalu dipasang pada telinga lembu dan gegelang untuk haiwan kumpulan burung.

RFID jenis mikrocip kini giat dipromosikan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dengan kerjasama klinik-klinik haiwan berdaftar di seluruh Malaysia. Selain menjamin hak milik haiwan peliharaan kepada pemilik, ia juga membantu JPV menyimpan rekod-rekod haiwan dalam negara.

“Daya jejak haiwan dapat ditingkatkan menerusi mikrocip dan segala maklumat penting haiwan disimpan di dalam pasport haiwan tersebut memudahkan urusan pembancian haiwan peliharaan atau ternakan.

“Pengawalan penyakit juga dapat dilaksanakan kerana pihak kami dapat mengenal pasti haiwan yang membawa penyakit tersebut dan mempercepatkan kajian serta pengeluaran vaksin,” jelas Mas Ayu. Pemasangan mikrocip tanpa kos servis di klinik haiwan kerajaan dalam lingkungan harga RM18 hingga RM25.

Fasa satu atau peringkat permulaan pasport haiwan telah dibangunkan pada tahun 2009 dan diperkenalkan pada tahun 2010. Sebelum ini, pemilik haiwan perlu membawa empat dokumen bagi urusan rawatan atau ke luar negara, kini mereka hanya perlu menggunakan satu pasport sahaja.

 

KUCING milik Nahazatussyima ini telahpun dipasang mikrocip pada penghujung tahun 2011.

 

 

Kurang pendedahan

Projek tersebut dimulakan di Kuala Lumpur. Dalam tempoh dua tahun, ia mampu mengumpul sebanyak 700 pendaftar. Hari ini, pasport haiwan yang memerlukan pemasangan mikrocip telah berkembang kepada 2,000 haiwan dengan 1,000 pemilik di seluruh negara.

“Mikrocip telah diperkenalkan JPV sejak tahun 2000, namun ia lebih kepada tanda identiti pada telinga yang mengalami masalah mudah tertanggal dan hilang.

“Masyarakat kita kurang diberi pendedahan tentang perkara begini dan maklumat hanya sampai kepada golongan tertentu. Sesetengah negara mewajibkan pemasangan mikrocip ke atas haiwan peliharaan bagi memudahkan pengenalan baka dan kawalan penyakit jika ia dibawa masuk atau keluar negara.

“Trend pemasangan mikrocip dan pendaftaran pasport haiwan dilihat meningkat setiap bulan. Menerusi kerjasama JPV Kuala Lumpur dan Kelab Kucing Malaysia, kita harapkan agar lebih ramai penduduk kota sedar tentang kepentingan mikrocip dan pasport,” ujar Mas Ayu yang mengesahkan terdapat beberapa kes pencurian haiwan peliharaan berjaya diselesaikan menerusi pengimbasan mikrocip pada badan haiwan tersebut.

Mas Ayu turut mengingatkan kepada mereka yang kehilangan haiwan peliharaan untuk menyemak portal pasport haiwan di www.petpassport.dvs.gov.my pada ruangan lost & found.

Sekiranya terdapat aduan kehilangan, pemilik boleh menyemak status dengan memasukkan nombor mikrocip haiwan.

SUMBER : KOSMO

Leave a Reply